Sunday, April 17, 2011

Program amal kelab kereta

Posted by rinsaq 5:34:00 PM, under | No comments

PRIHATIN dengan nasib yang menimpa anak yatim, 16 kelab kereta tempatan bergabung menjayakan program amal Santai Bersama Anak Yatim anjuran Sham Big Sumo Enterprise di Tiara Beach Resort Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Program julung kali itu bertujuan mengumpul dana melalui kutipan derma ahli kelab kereta yang mengambil bahagian sebelum diserahkan kepada penguasa Yayasan Anak Yatim Piatu Islam Daerah Port Dickson.


Penyelaras program merangkap Pengurus Sham Big Sumo Enterprise, Norhisham Hamid, berkata 16 kelab yang menyertai program berkenaan ialah Kelab VIC, Kelab Motosport Pulau Pinang, Kelab VOC Shah Alam, Kelab SMC, Kelab Olskool.org, Kelab Primerz, Kelab V-Plus Arting Speed, Kelab Banzai, Kelab SCMC Melaka, Kelab Sioloon, Kelab Blaze Motorspot, Kelab SIC, Kelab IMPUL Melaka, Kelab Tuner, Kelab V3 dan Kelab Myvi C.

Pihaknya tidak menyangka program itu mendapat sambutan baik ahli kelab sekali gus membuktikan mereka boleh memberikan kerjasama terhadap sebarang program amal di masa depan.


Katanya, seramai 25 anak yatim dari yayasan berkenaan dibawa mengikuti program berkenaan bagi memberi peluang mereka melihat dari dekat pelbagai aktiviti yang dijalankan terutama membabitkan pertandingan audio dan kereta tercantik.


"Sokongan dan komitmen peserta menunjukkan ahli kelab bukan sekadar ghairah untuk merebut hadiah pada pertandingan kereta tercantik tetapi menjayakan aktiviti amal untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.

"Sebanyak 50 peratus wang penyertaan yang dikenakan kepada setiap peserta iaitu RM20 didermakan kepada yayasan anak yatim berkenaan dan sepanjang aktiviti itu kami mengumpulkan sebanyak RM1,260," katanya.


Katanya, pertandingan audio mendapat penyertaan 19 kereta manakala pertandingan kereta tercantik disertai 43 buah daripada pelbagai jenis antaranya Honda, Proton Waja, Perodua Kenari dan Kancil serta Toyota.


Sumber : myMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...