Wednesday, April 27, 2011

Terbaik di Eropah

Posted by rinsaq 11:02:00 PM, under ,, | No comments


ROONEY (kanan) berjaya menjaringkan satu gol ketika United menang 2-0 ke atas Schalke awal pagi semalam.


LONDON - Alex Ferguson memuji persembahan Manchester United selepas menang 2-0 atas Schalke 04 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Veltins Arena awal pagi semalam.

Ferguson berkata, persembahan pasukan tersebut adalah antara yang terbaik di Eropah sepanjang 25 tahun dia menggendalikan skuad The Red Devils itu.

Malah, ia turut dianggap berjaya menyamai persembahan pasukan itu ketika menewaskan Juventus 3-2 pada tahun 1999 meskipun pada suatu ketika mereka ketinggalan 0-2, sekali gus mara ke final.

"Kemenangan yang kami catat ketika menewaskan Juventus masih lagi dianggap terbaik tetapi persembahan hari ini (awal pagi semalam) juga sudah boleh dianggap berjaya menyamainya.

"Saya sangat berpuas hati. Pemain-pemain memang wajar diberikan pujian berdasarkan kepercayaan serta persefahaman di antara mereka," kata Ferguson.

Pada aksi awal pagi semalam, jaringan Ryan Giggs pada minit ke-67 dan Wayne Rooney dua minit kemudian sudah cukup untuk memberikan United bekalan selesa sebelum melayan kunjungan Schalke 04 pada aksi kedua di Old Trafford minggu depan.

Skuad The Red Devils juga mencipta rekod tersendiri apabila menjadi kelab pertama dalam sejarah saingan Liga Juara-Juara yang belum pernah dibolosi setiap kali beraksi di tempat lawan.

"Fokus adalah antara perkara penting setiap kali kamu beraksi di tempat lawan.

"Kami menemui corak permainan seperti ini setiap kali beraksi di tempat lawan sejak beberapa tahun sejak kebelakangan ini dan nampaknya ia memberikan hasil yang positif.

"Kini, kami dilihat beraksi lebih baik jika dibandingkan dengan kelab-kelab Eropah yang lain. Persembahan kami memang suatu yang menakjubkan," jelas Ferguson. - Agensi


Sumber : Kosmo!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...