Friday, April 15, 2011

Inspirasi model Sports GSX-R

Posted by rinsaq 9:31:00 PM, under , | No comments


SMASH 115 sememangnya memiliki banyak kelebihan berbanding pesaing sekelasnya.


MENGETENGAHKAN rekaan terbaru tanpa berkompromi dengan aspek pengendalian dan kuasa, pengalaman menunggang Suzuki Smash V115 selama beberapa hari nyata memuaskan.

Jentera yang menggunakan kerangka jenis underbone itu memberikan corak tunggangan sporty dan stabil. Kerangka yang rigid ini penting bagi diselarikan dengan prestasi enjinnya.

Bentuk tempat duduknya juga direka pada kedudukan sedikit rendah bagi membolehkan sesiapa sahaja dapat menunggangnya dengan selesa. Talaan sistem suspensi untuk roda hadapan telah diubahsuai. Manakala perubahan pada penyerap hentakan roda belakang dibuat agar berat dn getaran pada gegelung dapat dikurang demi keselesaan tunggangan.

Tidak jauh bezanya dengan rekaan kapcai moden, tubuh Suzuki Smash V115 yang mempunyai banyak bucu tajam diinspirasikan oleh model motosikal sports Suzuki lebih berkuasa seperti siri GSX-R.

Lampu utama dan lampu kombinasi pada bahagian belakangnya memiliki ciri multi pantulan. Ia menawarkan iluminasi cahaya yang lebih terang ketika menunggang pada waktu malam.

Harus diketahui bahawa enjin yang baru dibangunkan itu menawarkan prestasi dan penjimatan penggunaan bahan api yang mengagumkan. Sekali gus menjadikannya sebuah kapcai yang mesra alam sekitar.

Tidak cukup? Suzuki Smash V115 juga memiliki kelajuan tertinggi dalam kelasnya. Model terbaru ini dinilai dan dianalisis di kemudahan milik Suzuki di Jepun. Usaha tersebut dibuat semata-mata untuk menghasilkan produk yang menepati ekspektasi setiap penggunanya di seluruh dunia.


ENJIN dengan sistem PAIR ini mampu mengurangkan tahap pengeluaran asap berbahaya.


Sebaik sahaja penghidup elektriknya ditekan, enjin empat lejangnya berbunyi lembut. Keadaan itu banyak dibantu oleh peredam pada ekzosnya, selain daripada rekaan enjin yang mengoptimumkan kecekapan dalam kebuk pembakaran. Ia dikatakan mampu mengurangkan bunyi bising, getaran dan masalah kehilangan kuasa.

Lebih penting lagi, prestasi enjin yang dipasang pada Suzuki Smash V115 ini menjanjikan prestasi di sepanjang lengkuk kuasa, bermula dari rpm rendah hinggalah rpm tinggi. Hasilnya, anda sukar untuk berasa kapcai ini kehilangan kuasa dan tidak perlu menukar gear dengan kerap.

Malah, kuasanya dapat dirasai secara serta-merta apabila pendikit minyak dipulas. Kuasa janaannya diagihnya dengan baik menerusi kotak gear empat kelajuan jenis rotary yang ada padanya.

Lebih menarik lagi, prestasi itu hadir bersama pakej yang menjimatkan. Suzuki mendakwa Suzuki Smash V115 mampu mencecah perbatuan sejauh 50.2 kilometer bagi setiap liter petrol. Berbanding hanya 40.5 kilometer yang dicatatkan oleh pesaing terdekatnya.

Kuasa itu dipadankan bersama gabungan sistem brek cakera dan gelendong yang cukup efektif. Anda hanya perlu menarik dengan perlahan untuk merasai cengkaman brek cakeranya. Sistem brek itu bukan sekadar kelihatan bergaya, malah anti karat bagi memastikan ia lebih tahan lama.


LAMPU belakang dengan ciri multi pantulan menawarkan cahaya yang lebih terang.


Bagi tujuan keselamatan, tampat kuncinya disertakan bersama penutup kunci bermagnet. Sebelum meninggalkan motosikal, pastikan kunci itu diputar sebagai langkah keselamatan tambahan.

Suzuki Smash V115 dalam tiga varian iaitu asas (basic), standard (SD) dan SCD. Perbezaan antara ketiga-tiga varian itu adalah dari segi penggunaan rim aloi, brek cakera pada roda hadapan serta penghidup jenis elektrik pada hendalnya.

Suzuki Smash V115 SCD ditawarkan pada harga RM4,847, SD (RM4,567) dan model asas hanya RM4,368 seunit. Jaminan selama setahun atau perbatuan 10,000 kilometer turut diberikan. Terdapat empat warna untuk dipilih, sama ada putih, hitam, biru dan merah.

Pendek kata, Suzuki Smash V115 tidak mempunyai sebarang kekurangan berbanding mana-mana kapcai sekelas dengannya.


Sumber : Kosmo! Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...