BUDAK lelaki itu ditarik keluar dari celah sebuah alat pendingin hawa oleh seorang lelaki.
BEIJING - Seorang budak lelaki berusia tiga tahun diselamatkan oleh seorang lelaki dengan menarik badannya keluar dari celah sebuah alat pendingin hawa dekat tingkat tujuh di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Kejadian itu berlaku apabila budak tersebut terjatuh dari balkoni apartmennya di tingkat lapan semasa dia tinggal berseorangan kerana ibu bapanya tiada di kediaman tersebut, baru-baru ini.
Jiran-jirannya yang mendengar bunyi jeritan budak tersebut bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. Namun, mereka mengambil tindakan sendiri apabila melihat budak tersebut tersangkut di celah alat pendingin hawa dekat tingkat tujuh. Seorang jirannya berdiri di tepi tingkap dan menarik lengan budak tersebut dari celah alat pendingin hawa itu untuk menyelamatkannya. - Agensi
SEORANG kakitangan syarikat TES NewEnergy menunjukkan sebuah periuk yang menindih air boleh mengecas sebuah telefon bimbit dalam satu demonstrasi baru-baru ini.
TOKYO - Sebuah syarikat Jepun memperkenalkan kaedah terbaru mengecas telefon bimbit di luar rumah selepas bencana alam melanda iaitu dengan memanaskan sebuah periuk di atas unggun api.
Periuk terma elektrik tersebut yang dikenali sebagai Hatsuden-Nabe menukar haba air mendidih kepada tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke peralatan seperti telefon pintar, pemain muzik dan sistem pengesan kedudukan global.
Syarikat TES NewEnergy yang beribu pejabat di Osaka, mula menjual periuk itu di Jepun pada harga AS$299 (RM907) bulan ini sebelum ia dipasarkan di negara-negara membangun tidak lama lagi.
Periuk berkenaan dilengkapi bahan seramik termaelektrik yang menghasilkan arus elektrik melalui perbezaan suhu 550 darjah Celsius di dasar periuk dan air mendidih di dalamnya pada suhu 100 darjah Celsius.
Syarikat berkenaan menyatakan, gajet itu mengambil masa tiga hingga lima jam untuk mengecas sebuah iPhone dan para pengguna boleh memasak makanannya pada sama yang sama.
"Saya mendapat idea mencipta periuk ini apabila melihat rakaman televisyen yang memaparkan mangsa-mangsa gempa bumi membuat unggun api untuk memanaskan badan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif TES NewEnergy, Kazuhiro Fujita. - AFP
COURTNEY MITCHELL (kanan) menyarungkan cincin perkahwinan kepada pasangan lesbiannya, Sarah Welton dalam majlis perkahwinan sesama jantina di sebuah kuil Hindu di Katmandu, Nepal semalam.
KATMANDU - Seorang peguam wanita dan profesor wanita dari salah sebuah kolej di Amerika Syarikat (AS) merupakan pasangan lesbian yang pertama berkahwin di Nepal semalam.
Nepal baru-baru ini telah mengiktiraf hak-hak lelaki homoseksual dan menggubal undang-undang untuk menamatkan diskriminasi seksual.
Pasangan itu, Courtney Mitchell, 41, dan Sarah Welton, 48, dari Denver, Colorodo diraikan dalam persandingan tradisi Hindu di kuil Dakshinkali yang terletak di selatan Katmandu, ibu negara Himalaya.
Ahli Parlimen Nepal, Sunilbabu Pant, seorang aktivis hak gay berkata, ia merupakan perkahwinan awam pertama daripada pasangan lesbian di negara konservatif.
Di Nepal, perkahwinan sejenis tidak menyalahi undang-undang. - AP\
SALING MENYAYANGI... Malee bersama ibu bapanya, Ji dan Mam.
DENGAN ibu bapanya hanya di paras bahu, remaja gergasi belasan tahun ini yang setinggi 208.23 sentimeter adalah paling tinggi di dunia dan dia masih membesar.
Dengan berat badan 130 kilogram, Malee Duangdee dari Thailand timur sedar dia berbeza dengan kanak-kanak seusianya sejak muda lagi. Ketinggiannya meningkat begitu pantas berbanding rakan sekolahnya.
Ketika berusia sembilan tahun, ibunya, Ji, 40, membawanya berjumpa doktor kerana menyedari perbezaan anaknya dengan rakannya dan mahu memastikan tidak ada apa-apa yang serius dengannya.
Doktor menemui ketumbuhan dalam otak yang menindih satu saraf yang mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan ketinggiannya tidak akan terhenti. Kini, Malee memerlukan suntikan yang menelan belanja kira-kira RM10,000 setiap tiga bulan untuk mengawal pertumbuhannya.
TERLALU TINGGI... Malee tidak muat untuk memasuki pondok telefon.
Ketinggiannya menyebabkan gadis berusia 19 tahun ini berdepan masalah ketika bersekolah. Dia dibuli dan terpaksa menghabiskan sebahagian besar kehidupannya dalam kesunyian kerana tidak mempunyai kawan.
“Saya seperti orang tidak siuman. Budak sekolah membuli dan mengejek saya. Namun, sejak berhenti sekolah, saya cuba menyesuaikan diri dengan keadaan saya. Saya terpaksa menjalani kehidupan sendiri tetapi ia sangat sukar,” kata Malee.
Akibat ketumbuhan itu, penglihatan Malee terjejas. “Sejak kecil lagi saya dapat rasakan saya terlalu tinggi dan memakan ubat menjadi sebahagian daripada kegiatan harian saya. Namun, apabila semakin dewasa, penglihatan saya bertambah kabur. Begitu sukar untuk saya ke mana-mana.” Ibunya berkata dia dan suaminya melakukan yang terbaik untuk Malee tetapi berdepan masalah kewangan.
“Suntikan itu berjaya mengawal pertumbuhannya tetapi ia sangat mahal. Malee sepatutnya disuntik setiap tiga hingga enam bulan tetapi kami sentiasa tidak dapat membiayainya,” kata Ji.
Keadaan Malee kelihatan terkawal ketika ini dan sejak meninggalkan sekolah, kehidupannya menjadi lebih tenteram.
“Di sekolah, semua pelajar mengejek saya. Ada satu yang saya tidak faham dan tidak dapat terima ialah ‘Malee pengotor’. Mereka sentiasa menyakitkan hati saya. Ia membuat saya sedih.
“Saya begitu terdesak untuk mendapatkan kawan untuk bermain. Mujur ada guru yang baik dan sentiasa cuba membantu. Kini, saya tidak ada hubungan dengan budak-budak itu.” Kebanyakan masanya kini dihabiskan dengan keluarganya, terutama adiknya, Daoruang yang berusia tiga tahun.
“Saya membantu ibu di sekeliling rumah dan memasak. Tak banyak kerja yang saya lakukan. Saya tidak mempunyai teman lelaki. Saya berasakan perkahwinan adalah sesuatu yang mustahil bagi orang seperti saya. Saya terlalu berbeza.
“Bapa saya bimbang dengan keadaan saya. Dia tidak mengizinkan saya ke mana-mana bersendirian kerana kadangkala saya memerlukan bantuan untuk berdiri. Saya agak berat tetapi seperti gadis seusia saya yang lain, saya suka disayangi dan tinggal bersendirian, membina kehidupan sendiri dan bergembira. Tidak ada siapa tahu apa akan berlaku pada masa depan.” Malee secara rasmi dinobatkan sebagai gadis paling tinggi di dunia dalam Buku Rekod Guinness pada 2009, mengatasi Elisany Silva dari Brazil. Ketinggian Elisany hanya 205.74 sentimeter.
RAMAI... keluarga besar Ziona Chana mempunyai 181 ahli
ZIONA Chana adalah ketua kepada keluarga terbesar di dunia — dan dia berasa hidupnya ‘sangat diberkati’ kerana mempunyai 39 isteri.
Chana turut mempunyai 94 anak, 14 menantu dan 33 cucu. Mereka semua tinggal di kediaman empat tingkat yang mempunyai 100 bilik, dibina di tengah-tengah kawasan berbukit Desa Baktwang di wilayah Mizoram di India. Semua isterinya tidur di beberapa bilik tidur besar.
Chana, 66, memberitahu akhbar The Sun: “Hari ini saya rasa seperti hamba istimewa tuhan. Dia mengurniakan saya begitu ramai insan untuk saya lindungi.
LUAS...ruang dalam kediaman empat tingkat keluarga Chana, 'Chhuantthar Run' (rumah generasi baru)
BESAR... kediaman Chana di kawasan berbukit Desa Baktwang mempunyai 100 bilik
BANYAK... isteri Chana menunjukkan sejumlah besar bahan mentah yang diperlukan untuk masakan hidangan makan malam keluarga itu.
“Saya menganggap diri ini sungguh bertuah kerana menjadi suami kepada 39 wanita dan pemimpin keluarga paling besar di dunia.” Keluarga itu diuruskan dengan penuh disiplin dan isteri tertua, Zathiangi ditugaskan memberi arahan kepada madunya supaya melakukan tugas harian seperti membasuh, memasak dan mengemas rumah.
Zathiangi, 69, bertanggungjawab membahagi-bahagikan tugas harian di rumah kepada isteri Chana yang lain, anak perempuan dan menantunya.
Setiap hari ada longgokan baju setinggi gunung menanti untuk dibasuh — dan semuanya perlu dibasuh dengan tangan.
Penyediaan makan malam pula memerlukan 30 ekor ayam, 66 kilogram kentang dan 110 kilogram beras untuk dimasak.
Selain menjadi ketua keluarga, Chana adalah pemimpin kepada fahaman yang membenarkan penganutnya berkahwin dengan seberapa ramai isteri yang diinginkan.
Chana yang dipanggil ‘Ka pa’ atau bapa oleh keluarganya mengahwini Zathiangi ketika dia berusia 17 tahun.
Dia adalah pewaris pemimpin kepada fahaman Chana yang percaya satu masa kelak mereka akan memerintah dunia bersama Jesus Christ.
Fahaman yang mendapat nama daripada datuk Chana iaitu Challian Chana itu membenarkan pengikut lelakinya berkahwin dengan seberapa ramai wanita yang mereka ingini.
Namun, ketika zaman kecilnya, Chana percaya dia tidak akan berkahwin sambil berkata: “Bapa saya mempunyai tujuh isteri dan tanggungjawab menjaga ketujuh-tujuh isteri adalah cabaran yang berat buat bapa.
“Apabila melihat dia dikelilingi wanita setiap masa, keadaan itu mematahkan hasrat saya untuk berkahwin. Namun, kehendak saya tidak sama dengan kehendak tuhan.” Kini Chana membahagi-bahagikan masanya bersama semua 39 isterinya — dia berkahwin dengan isteri terbarunya tahun lalu.
Dia juga mengahwini 10 wanita dalam setahun ketika berada di puncak kegemilangan dan tidur di katil besar, manakala semua isterinya perlu berkongsi di dalam satu bilik tidur seperti bilik asrama.
Dia membiarkan isteri barunya tidur berhampiran bilik tidurnya, sementara isteri lain tidur agak berjauhan. Namun, mereka bergilir-gilir meluangkan masa bersama Chana di bilik tidurnya.
Rinkmini, 35, seorang daripada isteri Chana berkata: “Kami selalu berada dekat dengannya kerana dia orang paling penting di rumah ini. Dia juga lelaki paling kacak di desa ini.” Dia berkata, Chana melihatnya berjalan pada satu pagi di desa itu kira-kira 18 tahun lalu sebelum menulis surat menyatakan hasrat untuk mengahwininya.
Seorang lagi isteri, Huntharnghanki berkata, hubungan antara semua ahli keluarga itu sangat baik. Sistem yang diamalkan dalam keluarga itu berdasarkan kepada kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain.
Chana yang mempunyai 4,000 pengikut berkata, dia tidak akan berhenti daripada mencari isteri baru untuk dikahwini.
“Bagi meluaskan fahaman kepercayaan Chana, saya rela ke Amerika Syarikat sekalipun untuk berkahwin,” katanya.
Anak lelaki sulong Chana, Parliana, 50, berkata bapanya berkahwin dengan ramai wanita supaya dapat menjaga mereka.
Dia menegaskan: “Kebanyakan wanita yang dikahwini bapa saya adalah penduduk miskin dan yatim piatu di desa ini. Dengan mengahwini mereka, dia menjadi contoh terbaik dalam sejarah kehidupan manusia.
“Dia bukan saja ketua keluarga ini tetapi juga pemimpin kepada 4,000 pengikut fahaman Chana. Datuk saya pindah ke desa ini dan membangunkan masyarakatnya. Sejak itu, bapa saya meneruskan amanat datuk dan memikul tanggungjawab sebagai pemimpin di sini.
“Tugas mendidik adik saya sungguh berat, tetapi kami semua gembira dan mempunyai kehidupan baik. Dengan menyokong tugas bapa, saya rasa dekat dengan tuhan.” Parliana turut mengikuti jejak langkah bapanya walaupun dia perlu belajar lebih banyak perkara untuk menjadi pemimpin Chana.
Buat masa ini, dia mempunyai dua isteri dan 13 anak.