Saturday, April 23, 2011

United hampiri kejuaraan ke-19

Posted by rinsaq 8:50:00 PM, under ,, | No comments


JARINGAN tunggal Hernandez sudah cukup membantu United menghampiri kejuaraan liga kali ke-19.

MANCHESTER - Manchester United semakin menghampiri rekod gelaran Liga Perdana England kali ke-19 apabila penyerangnya, Javier Hernandez menanduk masuk gol kemenangan enam minit sebelum tamat perlawanan ketika menewaskan Everton 1-0 malam tadi.

Aksi cemerlang penjaga gol Everton, Tim Howard hampir saja memberi pasukannya satu mata selepas banyak menyelamatkan percubaan bekas kelabnya, United di Old Trafford.

Begitupun, Everton gagal menghalang penyerang Mexico, Hernandez daripada menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-84, sekali gus menyaksikan The Red Devils selesa mengukuh kedudukan di persada liga dengan kelebihan sembilan mata.

Ini merupakan jaringan ke-19 Hernandez buat United setelah tiba di Old Trafford dengan harga £6 juta (RM30 juta) awal musim panas lalu.

United kini hanya perlu mencatat kemenangan ke atas Arsenal dan Chelsea selepas ini sekiranya mahu menjulang kejuaraan musim ini.

Alex Ferguson juga memberi tumpuan kepada pertemuan Liga Juara-Juara dengan Schalke 04 di Jerman dengan merehatkan Patrice Evra dan Nemanja Vidic malam tadi.

Pada perlawanan lain, Liverpool terus garang apabila membelasah Birmingham 5-0 di Anfield. Maxi Rodriguez menghasilkan hatrik sementara dua lagi gol dijaringkan oleh Dirk Kuyt dan Joe Cole.- Agensi


Sumber : Kosmo!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...