Wednesday, April 27, 2011

BAM menunggu

Posted by rinsaq 11:08:00 PM, under ,, | No comments


MISBUN SIDEK


DRAMA Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum selesai. Walaupun jurulatih badminton perseorangan negara itu memerlukan tempoh tiga bulan untuk membuat keputusan kembali ke pangkuan BAM, kali ini skrip yang sama dilihat bakal berulang.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai mengesahkan sehingga semalam Misbun belum memberikan sebarang jawapan berhubung kontrak baru yang ditawarkan badan induk sukan badminton itu kepada beliau.

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Chin Chai sebelum ini, bekas jaguh badminton negara itu diberikan tempoh sehingga 27 April (semalam) iaitu sebelum berlangsungnya mesyuarat Exco BAM hari ini bagi menyatakan persetujuannya sama ada menerima ataupun sebaliknya.

“Masih belum ada jawapan lagi daripada Misbun dan kami (BAM) memang tidak boleh berbuat apa-apa. Kita tunggu dan lihat sahaja.

“Mungkin sudah memang sikap beliau yang lebih gemar membuat keputusan pada saat-saat akhir seperti yang dilakukannya sebelum ini,” kata Chin Chai kepada Kosmo! semalam.

Kontrak baru yang ditawarkan kepada Misbun itu bakal menyaksikan beliau menjadi jurulatih kepada skuad pelapis negara dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain yang mampu diketengahkan di pentas antarabangsa.

Ia juga bertujuan untuk mencari pemain yang mampu menggantikan tempat jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

Ditanya apakah keputusan yang akan dibuat sekiranya Misbun tidak memberikan sebarang respons kepada badan induk tersebut menjelang mesyuarat Exco BAM hari ini, Chin Chai menjawab: “Kami akan putuskan dalam mesyuarat itu nanti.”

“Buat masa ini, saya tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenai hal tersebut kerana apa jua keputusan hanya boleh dibuat dengan persetujuan kesemua barisan Exco,” ujarnya.


Sumber : Kosmo!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...