Friday, April 8, 2011

Ji Sung optimis

Posted by rinsaq 6:04:00 PM, under ,, | No comments

pix_middle

PARK Ji Sung (gambar) yakin dia tidak akan mengambil masa lama untuk mengembalikan semula persembahan yang menjadikannya seorang daripada bintang cemerlang Manchester United pada babak pertama musim ini.

Pemain legenda Korea Selatan itu menjaringkan enam gol dalam beberapa penampilan menakjubkan buat Red Devils sebelum dia meninggalkan kelab itu buat sementara untuk beraksi pada Piala Asia, Januari lalu.

Sayangnya buat Ji Sung, apabila dia kembali ke England kira-kira sebulan kemudian, dia mengalami kecederaan hamstring yang menyebabkannya berputih mata menonton aksi dari tepi padang selama enam minggu.

Kemenangan Sabtu lalu ke atas West Ham menyaksikan dia kembali beraksi dan pemain berusia 30 tahun itu mengekalkan tempatnya ketika mengatasi Chelsea pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu, apabila Ji Sung bertindak baik sebelum keletihan pada lewat permainan.

Kini dia mahu menggunakan sepenuhnya setiap peluang yang diterimanya.

"Adalah amat mengecewakan untuk mengalami kecederaan sebaik selepas pulang daripada Piala Asia," katanya.

"Kejohanan itu juga tidak membuahkan hasil buat saya jadi saya berazam untuk kembali dan melakukan yang terbaik buat United.

"Syukurlah, saya kini kembali tapi saya sedar saya perlu bermain sebaik sebelum Krismas. Saya ada keyakinan untuk melakukannya.

"Saya sudah enam tahun di United dan sebelum Krismas saya berjaya mempamerkan beberapa persembahan terbaik sepanjang saya berada di Old Trafford. Saya mahu sampai ke tahap itu sekali lagi."

Dengan satu lagi pertembungan menentang Chelsea menanti Selasa depan, tidak hairan jika Ji Sung diketepikan daripada barisan serangan bagi pertemuan menentang Fulham, malam ini.

Satu perubahan besar dijangka, dengan Rafael kemungkinan besar diketepikan kerana kecederaan lutut yang memaksanya dikeluarkan di Stamford Bridge dan Wayne Rooney tidak beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan.

Ada berita gembira juga apabila Anderson beraksi 45 minit dalam pasukan simpanan kelmarin dan Darren Fletcher dijangka kembali berlatih selepas diketepikan hampir sebulan kerana serangan virus kronik.

Dengan kelebihan tujuh mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris perlu dikekalkan, United tidak akan memandang rendah keupayaan Fulham.

Namun tiada siapa boleh dipersalahkan sekiranya mereka menumpukan terhadap perlawanan dengan Chelsea dengan prospek bertemu Inter Milan atau Schalke 04 pada separuh akhir Liga Juara-Juara semakin menjadi kenyataan.

"Di Old Trafford kami tidak gentar dengan mana-mana pasukan sekali pun," kata Ji Sung mengenai perlawanan penentuan Selasa ini.

"Kami percaya dengan keupayaan diri sendiri menentang Chelsea."


Sumber : myMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...