Sunday, April 10, 2011

Kuasa peminat

Posted by rinsaq 3:40:00 PM, under ,, | No comments


Undian terhadap artis yang menang bersandarkan keseimbangan kualiti bakat, populariti


SERING isu kontroversi dan gosip sensasi dijadikan penanda aras dalam mengukur keutuhan populariti seseorang insan seni, namun acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang berakhir malam Ahad lalu membuktikan sebaliknya. Keseluruhan pemenang yang menjulang trofi pada malam kemuncak anugerah industri hiburan paling berprestij itu dibuat atas penilaian peminat.

Sesungguhnya, kuasa peminat itu sangat besar sakti dan pengaruhnya yang ada kalanya sukar diramal dan ditebak. Penilaian peminat berdasarkan keampuhan bakat, kegembiraan mereka dan kesukaan mengenai hasil kerja, bukan kerana asakan isu sensasi murahan dan picisan yang menjauhkan mereka daripada penggemar.

Benar tiada yang datang mudah dalam perjalanan ke puncak kegemilangan, apatah lagi ABPBH 2010 menyandarkan seluruh mandat kepada peminat untuk mengundi finalis pilihan mereka dan bukan ditentukan barisan juri profesional.

Konsistensi dalam kerjaya, disokong produk yang memberikan impak selain lonjakan publisiti positif antara formula yang membantu mereka untuk mendakap kemas hati peminat.

Bintang Paling Popular musim ini - Shaheizy Sam antara contoh selebriti yang terpaksa menempuh laluan panjang sebelum diberikan kepercayaan peminat untuk menggalas gelaran besar itu. Sam mula berlakon pada usia 12 tahun, namun namanya menjadi sebutan apabila membintangi drama Pa’ie pada 1998. Malangnya selepas produksi itu, namanya perlahan-lahan beransur hilang lantaran tiada kesinambungan dalam karier lakonannya.

Bermula 2009, karier lakonan Sam menemui titik kesinambungan apabila diberi kepercayaan oleh pengarah muda, Syamsul Yusof untuk memegang watak pembantu sebagai Acai dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Acai melayakkan Sam untuk meraih pencalonan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 namun tewas kepada Syafie Naswip yang memenanginya menerusi Talentime.

Bagaimanapun, Januari 2010 membuka lembaran baru kepada pemuda berusia 29 tahun ini apabila filem lakonannya, Adnan Sempit mencatat kejayaan luar biasa dengan kutipan mendekati RM7.8 juta. Keampuhan populariti Sam menjalar pada filem seterusnya, Ngangkung yang ditayangkan pada 25 November tahun lalu. Ngangkung mencatat satu lagi kutipan box office apabila meraih RM8.45 juta selepas lima minggu tayangan.

Bersih tanpa gosip dan kontroversi, Sam turut cemerlang apabila bakatnya diiktiraf menerusi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) dan menang Anugerah Khas Yasmin Ahmad sempena Anugerah Skrin 2010.

Atas kejayaan meraih gelaran Bintang Paling Popular 2010, Sam meraih 126,168 undi meninggalkan persaingan terdekatnya, Shahir yang menjulang trofi Artis Baru Lelaki Popular. Namun, undian yang diterima Shahir selepas dicampurkan borang undian dan undian menerusi SMS, mencatatkan jumlah 66,764 undi - agak jauh berbanding jumpah yang diperoleh Sam.

Begitu juga Zizan. Meskipun namanya disebut-sebut bakal merangkul trofi Bintang Paling Popular musim ini tetapi nyata undinya tidak begitu banyak berbanding Sam dan Shahir kerana untuk kategori utama ini, Zizan sekadar memperoleh 41,436 undi. Namun, Zizan boleh menarik nafas lega atas kejayaannya merampas trofi Artis Komedi Lelaki Popular daripada Nabil yang memenanginya tahun lalu.

Dua finalis lain yang turut mendapat undian tertinggi kelompok lima nama teratas atau Top 5 Bintang Paling Popular ialah Faizal Tahir dengan 12,732 undian dan Lisa Surihani 10,592 undian.

ABPBH 2010 turut menjadi manifestasi peminat untuk mencari pembaharuan dalam senarai pemenang apabila beberapa kategori menyaksikan nama berbeza diangkat sebagai pemenang. Acara ini turut menterjemahkan suara peminat yang lebih cenderung menilai mutu kerja dan persembahan berbanding gosip murahan yang sering menjadi rencah sebagai pelaris industri hiburan.

Bukti jelas dapat dilihat pada pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular, Fasha Sandha yang kembali menggenggam trofi itu selepas kali terakhir menjulangnya pada ABPBH 2006. Tahun 2010 mengheret Fasha dalam kancah kontroversi berpanjangan ekoran kisah percintaannya yang putus di pertengahan jalan serta pertelagahan dengan pelakon, Nora Danish meletakkannya pada kerusi panas.

Satu persatu kontroversi menjengah hinggakan Fasha sentiasa menjadi penghias muka depan akhbar dengan siri cerita peribadi.

Gadis itu mengimbangi kehangatan cerita peribadinya dengan kekuatan persembahan terutama dalam drama rantaian yang meninggalkan impak besar kepada penonton, Chinta, disusuli Dia Atilia dan Samson & Delaila yang memperlihatkan ikrar peminat untuk menyokong bakatnya.

Fasha mengenepikan pemenang tahun lalu, Tiz Zaqyah yang masih tercari-cari produk yang memberikan impak selepas mencetuskan fenomena menerusi drama berantai, Nur Kasih. Ia adalah trofi ketiga dijulang Fasha untuk kategori itu yang sebelum ini dimenanginya pada ABPBH 2005 dan ABPBH 2006.

Musim 2010 juga menyaksikan lonjakan populariti luar biasa diterima Lisa Surihani apabila enam filem lakonannya menemui peminat.

Filem lakonan Lisa yang ditayangkan sepanjang tahun lalu ialah Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Zoo, Kapoww!!, Lagenda Budak Setan, Semerah Cinta Stilleto dan V3 Samseng Jalanan.

Permulaan karier lakonannya pernah menerima kritikan hebat meskipun persembahannya dalam filem I’m Not Single memberikannya trofi Pelakon Harapan Wanita, FFM21. Kekerapan Lisa menghiasi layar perak membuatkan media memberikan gadis berusia 25 tahun gelaran primadona baru industri perfileman Melayu. Populariti diraih Lisa mendorong Astro melantiknya sebagai Wajah Eksklusif Astro.

Ramai mengandaikan pengunduran Datuk Siti Nurhaliza daripada terus bertanding dalam ABPBH sebagai penyumbang kepada pembaharuan keputusan ABPBH 2010. Namun, pengunduran Siti bukan faktor mutlak kepada peralihan itu kerana sejarah ABPBH sendiri pernah menyaksikan nama lain menggungguli trofi Bintang Paling Popular.

Trofi itu pernah enam kali beralih tangan menerusi kemenangan Rosyam Nor (ABPBH 2002), Saiful Apek (ABPBH 2003), Mawi (ABPBH 2005, 2006 dan 2007) dan Nabil (ABPBH 2008).

Bagaimanapun, ketiadaan Siti memberi ruang kepada seorang lagi anak muda yang mencipta nama di pentas antarabangsa, Yuna untuk mengungguli trofi Penyanyi Wanita Popular. Trofi itu menjadi milik Siti sebanyak 13 kali berturut-turut sejak menjulangnya buat pertama kali pada ABPBH 1996 dan pengunduran secara hormat penyanyi dari Kuala Lipis, Pahang secara tidak langsung membuka ruang kepada penyanyi lain untuk mengisi kekosongan itu.

Yuna mencipta kejayaan pertama pada ABPBH 2009 dengan mengungguli Artis Baru Wanita Popular, lantas memacu laju untuk membina nama di pentas antarabangsa. Tahun lalu juga menjadi puncak kejayaan Yuna apabila meraih tiga pencapaian utama pada acara Anugerah Shout! dengan membawa pulang trofi iaitu Anugerah Popstar, Anugerah Artis Baru Terbaik dan Anugerah Kemuncak Shout!.

Justeru, kemenangan Yuna sudah mampu ditebak meskipun terpaksa bersaing rapat dengan Ana Raffali dan Adira yang turut mencipta pengaruh tersendiri.

Turut membuka lembaran baru dalam ABPBH 2010 ialah 6ixth Sense yang memenangi Artis Berkumpulan/Duo Popular menewaskan Bunkface dan Meet Uncle Hussain yang pernah menjulang trofi itu. Kecuali kategori Penyanyi Lelaki Popular yang melihatkan Faizal Tahir mengenepikan pemenang tahun lalu, Aizat, kategori lain menyaksikan nama sama mempertahankan kemenangan mereka.

Senarai 10 Undian Tertinggi Bintang Paling Popular 2010
1. Shaheizy Sam
2. Shahir
3. Zizan
4. Aznil Nawawi
5. Faizal Tahir
6. Lisa Surihani
7. Ana Raffali
8. Syamsul Yusof
9. Fara Fauzana
10. Aizat.

Apa kata pemenang

Faizal Tahir
(Penyanyi Lelaki Popular)


“SEKALIPUN pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini, saya tidak pernah gementar, sebaliknya apabila diumumkan sebagai pemenang di pentas ABPBH 2010, saya terkedu dan tergamam, lebih-lebih lagi apabila kategori saya turut menyenaraikan penyanyi yang lebih senior dan berpengalaman seperti Anuar Zain.

ABPBH adalah 100 peratus mempertaruhkan populariti artis di tangan peminat, sebaliknya saya tidak pernah berasakan diri popular, jadi apabila trofi sudah berada dalam genggaman, barulah saya sedar, saya sudah berjaya mengumpul peminat kerana selama lima tahun perjalanan dalam industri seni, saya belum mampu meraih perhatian mereka, sehinggalah pada hari ini, bakat dan populariti saya mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Bagi saya, tidak semestinya hasil kerja kita bagus, peminat akan suka. Saya pula bukan jenis yang suka menjaja nama kerana sebagai suami dan ayah, saya banyak komitmen lain. Tapi Alhamdulillah, produk demi produk yang saya hasilkan memenuhi cita rasa peminat. Lagipun kali ini kategori saya paling sukar diramal siapa pemenangnya kerana semua calonnya hebat. Namun, peminat nak tengok saya menang, lalu mereka bekerja keras menghantar borang undian dan SMS.”

Remy Ishak
(Pelakon TV Lelaki Popular)


“SEPANJANG 2010, saya tidak ada drama yang kuat, ada cuma satu dua telefilem seperti Air Mata Nursalina dan Sabar. Jadi, saya berasakan kemenangan dua tahun bertutur-turut ini masih kuat dipengaruhi drama bersiri Nur Kasih yang meninggalkan impak dan aura yang besar dalam kerjaya seni saya. Peminat Nur Kasih masih setia menyokong saya sampai ke hari ini.

Namun, saya tidak boleh mengharapkan populariti Nur Kasih semata-mata. Jadi, diharapkan selepas ini saya boleh tampil dengan drama atau lakonan yang lebih dekat di hati peminat. Selain itu, saya yakin peminat tidak percaya dengan gosip sekalipun sepanjang tahun lalu saya diterjah pelbagai kontroversi, sebaliknya penilaian mereka menjurus kepada hasil kerja. Bagi saya, gosip sekadar rencah kehidupan artis.

Mulai 19 Mei ini. saya akan muncul dengan filem baru, Nur Kasih The Movie. Saya mengharapkan peminat akan terus memberi penilaian kepada hasil kerja saya, bukannya kisah peribadi yang disensasikan.”

6ixth Sense
(Artis Duo/Berkumpulan Popular/Artis Mobile Popular)


“INI tahun kedua kami berjaya masuk ke peringkat akhir dan kali ini rezeki memihak kepada kami. Menerusi kemenangan pada ABPBH 2010, ia boleh dianggap sebagai penanda aras, kerjaya kami meningkat satu lagi anak tangga. Kami tidak ada cerita sensasi atau kisah kontroversi untuk dikongsi bersama peminat, melainkan soal kerjaya yang mampu menambat perhatian mereka.

Kami bersyukur kerana banyak lagu daripada album terbaru dijadikan lagu tema drama bersiri popular terbitan TV3. Antaranya Menyesal dijadikan lagu tema drama bersiri Asmara dan Asmara 2. Selain itu Cinta Mati (Hani), Sepi (Ayoub) dan Khatimah Cinta (Chinta). Kami yakin peminat ingat 6ixth Sense disebabkan lagu kami sering diputarkan di kaca TV. Orang tengok drama, mereka kenal 6ixth Sense.

Sebelum ini peminat hanya tahu lagu, tak kenal artis. Tapi, apabila lagu kami kerap berkumandang mengiringi drama bersiri popular, secara tidak langsung, ia menambah populariti kumpulan kami. Insya-Allah selepas ini kami akan bekerja lebih keras dan menghasilkan lebih banyak lagu yang menepati cita rasa peminat. Kami harap 6ixth Sense mampu mempertahankan nama dan populariti lebih lama.”

Fasha Sandha
(Pelakon TV Wanita Popular)

“HAK individu jika ada pihak mahu mengaitkan kejayaan saya dalam ABPBH 2010 dengan kontroversi yang saya lalui sepanjang tahun lalu. Isu sensasi dan kontroversi mengenai saya akan terus diperkatakan tetapi saya lebih senang jika kemenangan ini dinilai kerana hasil kerja diberikan selama ini. Kontroversi tidak pernah melemahkan, sebaliknya menjadikan saya semakin bersemangat untuk bangkit dan membuktikan saya juga mampu memberikan terbaik kepada mereka yang menyokong.

Secara jujur, kemenangan diterima ini adalah di luar jangkaan. Saya sendiri tidak percaya akan mampu kembali mengulangi pencapaian kerana sepanjang 2010, nama Lisa Surihani dan Tiz Zaqyah memberikan impak besar kepada industri hiburan. Hati saya menolak daripada awal yang saya akan menang, jadi saya tidak membuat apa-apa persediaan. Bayangkan ketika menuju ke pentas, badan saya menggigil manakala otak pula ligat berfikir apa ucapan yang mahu disampaikan.”

Yuna
(Penyanyi Wanita Popular)

“BIARPUN Datuk Siti Nurhaliza menarik diri namun masyarakat tidak akan melupakannya kerana dia ialah penyanyi terbaik dan legenda kepada industri hiburan. Saya dedikasikan kemenangan ini kepadanya. Saya membesar dengan lagunya, malah sejak usia tujuh tahun, lagu Datuk Siti menjadi pilihan untuk dinyanyikan apabila membuat persembahan. Saya mahu berkongsi kemenangan ini dengan empat finalis lain kerana mereka juga mempunyai kelompok peminat yang kuat. Saya hargai ingatan peminat kerana kebelakangan ini, masa saya lebih banyak di luar negara berbanding di sini. Saya membawa mimpi besar untuk menjual muzik kita di luar. Saya tidak pernah meninggalkan peminat tetapi ke sana untuk mengejar cita-cita yang terpendam.”

Shahir
(Artis Baru Lelaki Popular)

“ORANG lain bekerja keras untuk mendapatkan anugerah dan ia memberikan kepuasan yang sukar diungkapkan dengan perkataan. Sebagai orang baru pula, kemenangan ini bermakna saya perlu bekerja lebih keras dan memberikan produk berbaloi dengan sokongan diterima daripada peminat. Saya memasuki industri membawa segala macam kekurangan, jadi saya berharap masyarakat menerima jika saya juga berbuat silap. Teguran masyarakat sebenarnya membantu saya untuk ke puncak dan perjalanan itu masih terlalu jauh. Apa yang saya peroleh ini cuma permulaan.”

Aznil Nawawi
(Pengacara TV Lelaki Popular)

“LAPAN kali memenangi trofi yang sama membuatkan saya ingin sekali melihat ada orang baru akan mengunggulinya nanti. Malah daripada awal lagi, saya sudah meluahkan hasrat ini tetapi saya tidak mempunyai kuasa untuk memantau siapa yang menjadi pilihan peminat. Kemenangan ini bukan kehendak saya, tetapi ia adalah pilihan peminat yang harus saya terima dan hormati. Atas alasan itu, saya tidak pernah berhasrat mahu menarik diri daripada ABPBH. Pencalonan diberikan ini adalah satu penghormatan daripada Berita Harian dan peminat, jadi saya perlu meneruskan perjuangan ini. Sejak mula mengenali bidang hiburan, Berita Harian sering menjadi ‘lidah’ yang menegur dan mengkritik. Saya tidak berkecil hati kerana teguran itu membawa saya di mana saya berada hari ini.”

Rabbani
(Artis Nasyid Popular)

“ALHAMDULILLAH dengan izin daripada-Nya dan sokongan berterusan daripada peminat, Rabbani berjaya mempertahan kemenangan ini sejak ABPBH 2001. Setiap tahun kami dicalonkan bersama kumpulan nasyid yang mempunyai pengikut dan peminat tersendiri, tapi rezeki lebih memihak kepada kami. Bagi Rabbani, kemenangan ini adalah kemenangan bersama. Peminat pula adalah tulang belakang kejayaan kami tahun demi tahun. Insya-Allah kami akan membalasnya dengan produk berkualiti.

Sumber : Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...